Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memeriksa perbarisan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada majlis memulakan tugas di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur . Foto WAN NABIL NASIR, 15 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahan yang baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin secara rasmi memulakan tugas di kementerian berkenaan di sini har ini.

Beliau tiba kira-kira pukul 8.30 pagi di Dataran Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak bersama-sama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat, Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Penglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Gorman Khan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bergambar di pejabatnya diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak (kiri) pada hari pertama memulakan tugas di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur . Foto WAN NABIL NASIR, 15 DISEMBER 2023.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Beliau kemudian mengimbas cap jari perakam waktu sebelum naik ke pejabatnya.

Selasa lalu, menerusi rombakan Kabinet, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO ditukarkan daripada jawatan Menteri Pendidikan Tinggi kepada Menteri Pertahanan.

Beliau mengambil tempat Datuk Seri Mohamad Hasan yang ditukarkan sebagai Menteri Luar Negeri manakala tempatnya diisi bekas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. – MalaysiaGazette