KUALA LUMPUR – Seorang individu yang bertindak memfailkan saman ganti rugi RM1 juta bagi setiap rakyat Malaysia berhubung pembatalan projek Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pemohon itu, Mohd. Hatta Sanuri turut menamakan dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai defenden sebagai cuai dalam menjalankan amanah mereka.
Hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menolak permohonan itu kerana mendapati kes berkenaan satu penyalahan proses mahkamah.
Hakim memutuskan permohonan itu juga memalukan kerana banyak dakwaan serta aduan yang sukar difahami.
“Kesimpulan wajar dan logik ialah saman ini tidak difailkan dengan niat baik,” ujar Roz Mawar dalam penghakimannya.
Selain Dr. Mahathir dan Muhyiddin, plaintif menamakan dinamakan sebagai defendan ialah bekas Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kelima.
Dakwa Mohd Hatta, saman itu atas kapasiti peribadi dan juga mewakili seluruh rakyat di negara ini yang terjejas dan terkesan akibat tindakan salah, kecuaian hingga membawa pembatalan salah projek HSR dan pembayaran pampasan tidak perlu kepada Singapura. – MalaysiaGazette