KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota polis di Hentian Sebelah (RnR) Tanjung Malim arah utara.
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya mengesahkan telah menerima satu laporan mengenai kejadian yang berlaku pada 1 Jun pukul 11.32 malam.
Kejadian berlaku apabila sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mengekori kereta jenis Proton Waja.
Menurutnya, kereta berwarna kelabu tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Apabila suspek menyedari telah diekori mereka bertindak melarikan diri dan memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara (KM 396.5).
“Dan (polis) telah berjaya menghentikan kenderaan suspek dan semasa kejadian suspek telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
“Pihak polis telah membalas tembakan sehingga keadaan selamat.
“Pemeriksaan mendapati kedua suspek di dalam kenderaan tersebut dalam keadaan berlumuran darah dan telah meninggal dunia,” katanya.
Jelas Hussein, polis telah mengenalpasti salah seorang suspek yang mempunyai 23 rekod jenayah dan enam rekod dikehendaki oleh polis manakala seorang lagi masih belum dikenali.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 208 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lain dan berhubung kejadian boleh tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi talian 03.60641223.-MalaysiaGazette