KEPALA BATAS – Polis masih mengesan suspek yang melarikan barang kemas milik seorang pempengaruh selepas rumahnya di Pokok Sena di sini dipecah masuk pada April lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Zulkeflee Sulaiman berkata, pihaknya tidak pernah menutup siasatan kes itu seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Dakwaan kita tidak maklumkan perkembangan kes juga tidak betul kerana pegawai penyiasat kes ada memberi perkembangan siasatan kepada pihak berkaitan pada 22 Mei lalu.
“Selain tiada saksi kejadian, hasil semakan tujuh kesan cap jari di lokasi kejadian juga mendapati tiada sebarang rekod yang boleh dikaitkan.
“Buat masa ini, kita masih mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.
Terdahulu, pempengaruh tersebut memuat naik satu rakaman video di TikTok dengan dakwaan terpaksa mendedahkan kejadian barang kemas bernilai RM800,000 miliknya lesap selepas 40 hari susulan tiada tangkapan dibuat oleh pihak polis.
Wanita itu dan suaminya mendakwa mereka masih trauma dengan kejadian yang menimpa selain berharap tangkapan dibuat agar kejadian sama tidak berulang.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan seorang usahawan pencuci mulut dan pempengaruh popular mengalami kerugian hampir RM500,000 selepas kediamannya di Pokok Sena dipecah masuk.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam dan ketika itu tiada penghuni di kediaman tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Rumah pempengaruh dipecah masuk, barang kemas RM500,000 lesap