Emas
Gambar hiasan.

KEPALA BATAS – Seorang usahawan pencuci mulut dan pempengaruh popular kerugian hampir RM500,000 selepas kediamannya di Pokok Sena di sini dipecah masuk semalam.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam dan ketika itu tiada penghuni di kediaman tersebut.

Bagaimanapun sebaik pulang ke rumah wanita itu mendapati kediaman mereka berselerak selain barang kemas miliknya yang dianggarkan bernilai RM500,000 turut lesap.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan berhubung kes ini sedang dijalankan termasuk mengesan suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.

Sementara itu, MalaysiaGazette telah menghubungi pempengaruh tersebut bagi mendapatkan penjelasan namun beliau memaklumkan pihaknya belum bersedia memberikan sebarang kenyataan.

“Buat ini saya tak mahu uar-uarkan, terima kasih,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette