Mugilan (baju merah) didakwa atas pertuduhan rompak beg lelaki Filipina pada November lalu.

BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak beg milik lelaki warga Filipina pada November lalu.

Tertuduh, B. Mugilan, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, Mugilan didakwa merompak beg milik warga Filipina itu di Taman Perindustrian IKS Simpang Empat dalam daerah Seberang Perai Selatan pada jam 8.45 malam, 29 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh merayu dibenarkan ikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan itu merupakan kesalahn berat.

Bagaimanapun, tertuduh yang berpendapatan RM1,500 sebulan merayu supaya dibenarkan diikat jamin dengan alasan perlu menyara ibunya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan di mana tertuduh tidak dibenarkan berhubung atau mendekati mangsa serta saksi pendakwaan dengan apa jua cara sehingga kes selesai dibicarakan.

Kes akan disebut semula pada 15 Januari depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette