KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang juga penagih dadah didakwa membunuh kedua ibu bapanya dengan menikam mereka selepas satu pergaduhan di Kampung Sungai Penchala didakwa di Mahkamah Masjistret di sini hari ini.
Bagaimanapun, tidak ada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Majistret, Wong Chai Sia.
Tertuduh, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 42, yang kelihatan sugul hanya mengangguk kepala tanda faham ketika pertuduhan itu dibacakan.
Mengikut pertuduhan, suspek melakukan perbuatan itu di rumah mangsa di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 pada pukul 7.10 dan 7.20 malam 9 Disember lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati mengikut Sesyen 304 Kanun Keseksaan.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi mengendalikan pendakwaan hari ini.
Hakim kemudian menetapkan 31 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan kejadian pembunuhan itu membabitkan ibu dan bapa oleh anak lelakinya yang mempunyai sembilan rekod dadah.
Pasangan warga emas itu yang berumur antara 72 dan 82 tahun ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah dengan beberapa kesan tikaman. – MalaysiaGazette