Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Pihak terlibat diminta menangguhkan kerja menaik taraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan menutup beberapa kaunter zon bas dan laluan automatik (sistem e-gate) sehingga cuti persekolahan berakhir.

Itu reaksi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hatiz Ghazi mengenai laporan media semalam berkaitan penutupan beberapa kaunter bagi kerja naik taraf di CIQ terbabit.

“Saya telah meminta supaya kerja-kerja ini ditangguhkan sehingga berakhirnya cuti persekolahan akhir tahun,” katanya ringkasnya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen CIQ memaklumkan, penutupan tersebut melibatkan tiga fasa di laluan keluar dan masuk kaunter bas terbabit dan proses itu dijadualkan selesai pada 15 Januari 2024.

Jelas unit berkenaan, kaunter Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) akan turut terjejas sepanjang tempoh berkenaan.

“Fasa pertama melibatkan kerja-kerja menaik taraf di laluan zon bas keluar dengan melibatkan kaunter manual 1 sehingga 4, laluan e-gate 1 sehingga 3 dan kaunter MDAC,” jelas kenyataan berkenaan.

Unit tersebut memberitahu, bagi fasa pertama di laluan zon bas masuk pula melibatkan kaunter manual (1-4); laluan e-gate (1-3) dan kaunter MDAC bermula pada 28 Disember ini.

Fasa kedua di laluan zon bas masuk itu pula melibatkan kaunter manual (11-18) dan laluan e-gate (1-6) bermula 3 Januari 2023 sementara fasa ketiga hanya melibatkan kaunter manual (3-12) bermula 9 Januari 2024.

Pihaknya turut memaklumkan permohonan kemudahan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) kali pertama diberhentikan buat sementara waktu atas sebab tertentu dan pembukaan semula akan dimaklumkan kemudian.

Sistem e-gate di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri digunakan warga asing khususnya Singapura bermula 20 Januari lalu.

Kebenaran penggunaan sistem e-gate itu memberi manfaat kepada 50,000 warga republik itu yang berulang alik ke Johor untuk tujuan sosial.

Sementara M-Bike pula yang dilancarkan di BSI dan KSAB bagi memudahkan secara purata lebih 60,000 penunggang dan pembonceng motosikal rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura atas urusan kerja. – MalaysiaGazette