Anwar Ibrahim.

BANGI – Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan tidak berhasrat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hanya calon Perdana Menteri (PM) dicalonkan daripada kaum Melayu.

Beliau berkata, calon PM adalah dari kalangan Melayu Islam daripada pihak kerajaan.

“Setakat ini tidak ada keperluan untuk pinda Perlembagaan Persekutuan sejak merdeka sampai sekarang di mana calon PM adalah Melayu.

“Buat masa ini calon PM masih Melayu sama ada daripada kerajaan mahu pun pembangkang,” katanya selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi hari ini.

Anwar solat Jumaat bersama-sama kira-kira 2,000 jemaah yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan media sama ada kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan seperti mana kenyataan Ketua Pemuda Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mencadangkan supaya beliau meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.

Kenyataan itu dikeluarkan Wan Ahmad Fayhsal ekoran satu kenyataan yang dibuat veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang didakwa menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kit Siang sebelum ini disiasat berhubung kandungan penulisan Kit Siang  yang dimuat naik dalam blognya, limkitsiang.com pada 30 November lalu yang menyentuh isu Perlembagaan berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia.

Penulisan yang disiasat bertajuk Malaysian Constitution Provides For a Malaysian Dream And Not a Mono-Ethnic Dream As It Provides That a Non-Malay Can Be a Prime Minister. –

Menjawab soalan media berhubung siasatan polis terhadap kenyataan Kit Siang, Anwar berkata, perkara tersebut tidak perlu dirumitkan kerana dalam perlembagaan ada peraturan-peraturan tertentu mengenai calon Perdana Menteri.

“Ini bukan isu dan sekarang ini tidak pernah menjadi isu jadi jangan kita rumitkan keadaan,” katanya lagi.

Kit Siang yang juga bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri hadir ke Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya pada Rabu lalu berhubung satu kenyataan dikeluarkannya di Manchester, United Kingdom 29 November lalu di hadapan pelajar Malaysia. – MalaysiaGazette