Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengurusan surau dan masjid diminta supaya menitik beratkan semula prosedur operasi standard (SOP) susulan laporan peningkatan kes Covid-19 pada masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, para jemaah di masjid dan surau juga dinasihatkan memakai pelitup muka khususnya mereka yang bergejala dan berisiko tinggi seperti warga emas, individu yang berpenyakit kronik serta ibu mengandung.

“Umat Islam juga disarankan sentiasa berhati-hati setiap masa dan sentiasa berdoa serta bermunajat agar wabak ini dapat dihindari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Na’im berkata, pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri_Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) untuk mengambil langkah proaktif dalam ruang lingkup hal ehwal agama bagi menghadapi wabak tersebut.

Ujarnya, langkah itu bagi memastikan tempat perkumpulan ramai umat Islam seperti di masjid dan surau yang menjadi tempat mudahnya jangkitan wabak dapat diambil tindakan-tindakan pencegahan awal.

“Langkah berwaspada ini adalah selaras dengan saranan Islam agar perkara yang boleh membawa kemudharatan hendaklah dielakkan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast