Muhammed Ahsan (atas) manakala Muhammad Fakhrul mangsa nahas pemandu mabuk di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Dua guru yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk di Jalan Permatang Baru di sini hari ini dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah ketika kejadian selepas menghadiri majlis meraikan rakan seperjuangan mereka yang akan berpindah sekolah.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi, Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, merupakan guru Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phei Shin di Bukit Dumbar, Jelutong serta Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32, guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bunga disahkan maut di lokasi kejadian.

Menceritakan sebelum kejadian, rakan mangsa, Muhammad Nazrul Firdaus Jelani, 32, berkata, mereka berenam termasuk dua mangsa nahas itu menjamu selera di sebuah restoran di sini bagi meraikan seorang rakan mereka yang bertukar ke sebuah sekolah.

Bagaimanapun, beliau tidak sangka dua rakannya terlibat dalam nahas maut kira-kira 10 hingga 15 minit mereka meninggalkan majlis tersebut.

“Saya serta dua arwah tinggal di bahagian pulau dan kebetulan guru yang ingin berpindah tinggal di Seberang Perai maka kami datang ke restoran berhampiran dengan lokasi guru berkenaan.

“Ikutkan saya mungkin antara mangsa nahas memandangkan dua arwah mempelawa untuk naik bersama ke lokasi majlis namun disebabkan ada urusan lain, saya datang sendiri dengan menunggang motosikal.

“Tidak sangka dalam tempoh 10 hingga 15 minit kami berpisah, saya dimaklumkan mereka berdua terbabit kemalangan dan maut di lokasi kejadian yang menyebabkan saya benar-benar terkejut,” katanya ketika ditemui di luar Unit Forensik Hospital Kepala Batas di sini hari ini.

Terdahulu, tinjauan di Unit Forensik HKP mendapati hampir 100 guru yang mengenali Muhammad Fakhrul dan Muhammed Ahsan hadir memberi penghormatan terakhir.

Mengulas lanjut, Muhammad Nazrul berkata, sepanjang pertemuan kesemua mereka hanya berbual biasa sambil menikmati makanan sebelum pulang ke rumah masing-masing.

“Dua arwah ini sangat baik dan suka membantu rakan-rakan guru yang lain. Arwah Muhammad Fakhrul, dia seorang guru yang berpotensi dan banyak memenangi anugerah manakala arwah Ahsan yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun seorang bapa serta suami penyayang.

“Selalunya bila datang ke Seberang Perai, Muhammed Ahsan akan menggunakan lebuh raya tetapi tidak kali ini mereka pulang ikut jalan bawah, mungkin sudah tertulis ajal mereka yang kita tidak mampu mengubahnya,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara Allahyarham Muhammad Fakhrul, Normurni Abdullah, 43, berkata, beliau bergegas ke hospital dari Kulim, Kedah selepas menerima perkhabaran itu.

Jelasnya, Muhammad Fakhrul merupakan anak keempat daripada lima beradik dan masih bujang itu tinggal bersama ibunya yang mengusahakan sebuah tadika di Farlim.

“Allahyarham seorang pendiam namun sejak seminggu lalu, arwah sering bersalaman dan memohon maaf kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya.

“Kelakuannya itu sama seperti arwah ayahnya yang turut meminta maaf kepada sanak-saudara dan kenalan sebelum meninggal dunia.

“Saya terkilan kerana tidak dapat bertemu arwah buat kali terakhir namun kami reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Jenazah Muhammed Ahsan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Zoo di Air Itam, dekat sini, manakala Muhammad Fakhrul dibawa ke Kampung Belukar Luas Naka, Kedah untuk dikebumikan berdekatan dengan kubur arwah bapanya selepas Solat Asar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua guru maut dalam nahas di Jalan Sungai Lokan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast