Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara cemburu, nyawa seorang tenaga pengajar sebuah kolej melayang apabila disyaki mati dibunuh oleh suaminya sendiri di Shah Alam semalam.

Mangsa seorang pengajar sebuah kolej di Sarawak itu baru pulang bercuti untuk menghadiri majlis perkahwinan adik iparnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, insiden menyayat hati itu menimpa warga tempatan berusia 33 tahun dalam insiden yang berlaku di rumahnya di Jalan Sungai Congkak, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. .

Katanya, semalam lebih kurang 5.33 pagi, polis menerima laporan daripada suspek iaitu suami mangsa yang menyatakan isterinya mengalami sawan dan membawa mangsa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan kerana tidak sedarkan diri.

“Namun pemeriksaan awal oleh doktor terhadap si mati mengesan kecederaan di beberapa bahagian tubuh mangsa tersebut.

“Siasatan lanjut polis mendapati mereka adalah pasangan jarak jauh dan mangsa telah dipukul oleh suspek (suami) akibat cemburu sebelum dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedar diri atas alasan sawan,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Mohd Iqbal, bertindak atas maklumat itu, polis pada hari yang sama jam lebih kurang pukul 12.49 tengahari telah membuat tangkapan ke atas suspek dalam tempoh kurang dari 24 jam di Hospital Shah Alam.

Soal siat ke atas suspek dan pemeriksaan seterusnya di rumah mereka berjaya membantu polis merampas senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul dan mencederakan isterinya iaitu dumbel – alat senaman yang terdiri daripada satu batang besi dan terdapat pemberat pada kedua-dua hujungnya,

Katanya, siasatan lanjut mendapati pasangan tersebut baru berkahwin pada April 2023 dan belum mempunyai cahaya mata.

“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun serta bekerja sendiri selain semakan polis mendapati suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau kes pukul dan dadah selain ujian air kencing mengesahkan suspek positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

Suspek akan direman hari ini di Mahkamah Shah Alam bagi membantu polis meneruskan siasatan lanjut.

Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika disabitkan dengan kesalahan, katanya.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau tampil terus ke Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast