Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah mengeluarkan arahan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci dalam kes kemalangan maut yang menyebabkan seorang pelajar sekolah maut didakwa dilanggar kenderaan seorang pegawai kanan polis di Ipoh, Perak semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, arahan siasatan menyeluruh turut dikeluarkan terhadap Ketua Polis Perak, Ketua Polis Daerah Ipoh dan juga Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Beliau juga memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dan adil dalam insiden membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu.

“Setakat ini, polis sudah merakam keterangan daripada tujuh orang saksi melibatkan pelajar sekolah yang melihat dan berada di tempat kejadian.

“Pada masa yang sama, pegawai polis yang terlibat juga sudah ditahan dan akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Tambah Razarudin, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

“Sehubungan itu, saya meminta mana-mana pihak yang turut melihat kemalangan maut itu dan mempunyai maklumat agar tampil segera untuk membantu siasatan polis.

Dalam kejadian yang berlaku jam lebih kurang 12.35 tengah hari semalam, seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Ipoh maut dalam nahas jalan raya selepas motosikal yang ditunggang disyaki dilanggar sebuah kereta Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pegawai kanan polis langgar pelajar sekolah akan direman