KEPALA BATAS – Pemandu kereta jenis BMW terlibat dalam nahas yang mengorbankan dua guru di Jalan Permatang Baru di sini hari ini direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, hasil ujian pernafasan ke atas pemandu lelaki berusia 46 tahun itu mendapati paras kandungan alkohol melebih paras yang dibenarkan.

Susulan itu kita menahan lelaki berkenan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kemalangan tersebut, Siti Nor Salawati berkata, dalam kejadian 2.30 pagi itu pemandu kereta itu datang dari arah Sungai Lokan, Butterworth menghala ke Kepala Batas sebelum bertembung dengan Perodua Myvi yang dinaiki dua lelaki dari arah bertentangan.

“Dipercayai apabila sampai di lokasi, pemandu BMW telah hilang kawalan sebelum bertembung dengan Perodua Myvi menyebabkan kedua-dua lelaki berkenaan maut di lokasi kejadian,” katanya.

Siasatan lanjut berhubung kemalangan ini sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Hafizi Mohamad di talian 011 2696 7676 untuk membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua guru maut dalam nahas di Jalan Sungai Lokan

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan dua guru maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta BMW.

Mangsa, Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, merupakan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Phei Shin di Jelutong di sini manakala rakannya, Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32, pula guru Sekolah Kebangsaan Tanjung Bunga. – MalaysiaGazette