Seramai 2,135 graduan sulung di Majlis Konvokesyen Pertama Universiti Poly-Tech Malaysia di WTC, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menempa sejarah baharu hari ini dengan meraikan 2,135 graduan sulung pada Majlis Konvokesyen Pertama Universiti Poly-Tech Malaysia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Konvokesyen tersebut merupakan yang pertama diadakan sejak UPTM diiktiraf universiti pada awal tahun ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tujuan penubuhan satu lagi universiti di bawah MARA sebagai pelengkap ekosistem pendidikan tinggi yang memfokuskan kepada kebitaraan perniagaan dan perakaunan.

“Pengiktirafan itu akan memacu UPTM ke arah pembangunan modal insan yang mahir dan profesional terutama dalam bidang perniagaan, perakaunan, pendidikan dan teknologi maklumat.

“UPTM menawarkan program pengajian berkualiti yang mendapat permintaan tinggi dan sentiasa relevan dengan keperluan industri,” katanya pada majlis konvensyen itu.

Seramai empat graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 38 graduan penerima Ijazah Sarjana, 62 graduan penerima Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 36 graduan penerima Pengajian Profesional, 1,038 graduan penerima Ijazah Sarjana
Muda dan 957 penerima diploma.

Buat julung kalinya, UPTM telah menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada Tan Sri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Enam kategori anugerah lain iaitu, Graduan Keluarga UPTM, Penerima Chancellor Award, Graduan Staf MARA, Graduan KembarPenerima President Award, Graduan Adik-Beradik Penerima President Award dan Penerima Extra-Curricular Special Award menjadikan jumlah keseluruhan yang telah menerima anugerah adalah seramai 75 graduan.

Turut diraikan dalam majlis konvokesyen ini, empat graduan antarabangsa yang datang dari negara Nigeria, Filipina dan Indonesia yang telah melengkapkan pengajian mereka dalam pelbagai peringkat dan bidang pengajian.

UPTM telah menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada Tan Sri
Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Sementara itu, Asyraf memberitahu, UPTM akan terus memperkasa program profesional perakaunan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dengan menaik taraf
program itu ke tahap platinum dan telah melaksanakan penambahbaikan dari segi kemudahan dan pengambilan pelajar.

Tambah beliau, UPTM telah berjaya mencatat peningkatan peratusan kebolehpasaran graduan yang drastik sehingga 90.2 peratus, yang menjadi parameter kepada kejayaan institusi ini melahirkan graduan yang kompetitif dalam kalangan pemain industri.

“Peratusan ini termasuklah mereka yang bekerja di pelbagai sektor, melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta menjadi usahawan secara fizikal mahu pun dalam talian.

“Berpegang kepada moto Keusahawanan dan Pendidikan Global, MARA akan terus berusaha membangunkan usahawan berjaya dan inovatif, serta melahirkan modal insan global yang berintegriti melalui sektor pendidikan.

“MARA menawarkan pelbagai program yang memberi peluang kepada pelajar untuk menuntut ilmu serta meningkatkan kemahiran bagi mendokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025, seterusnya melahirkan graduan
bertaraf dunia,” katanya. – MalaysiaGazette