PUCHONG – Sebuah kereta jenis Honda City milik salah seorang penghuni Taman Wawasan 3 di sini yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian kira-kira jam 5.55 petang tadi.

Kereta berwarna perak yang dibawa keluar menggunakan jengkaut itu merupakan antara empat kenderaan yang terjunam dalam runtuhan tanah itu sejak jam 7.30 malam semalam.

MalaysiaGazette difahamkan jengkaut itu merupakan jentera berat sama yang digunakan untuk memasang cerucuk besi keluli bagi menstabilkan keadaan tanah terbabit dalam runtuhan itu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tanah runtuh itu.

Anbalagan memberitahu, hanya empat kenderaan sahaja didapati terhumban dalam runtuhan itu kira-kira jam 7.30 malam semalam.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 7.26 petang semalam melibatkan sembilan kediaman berhampiran kawasan runtuhan di Taman Wawasan 3, di sini.

Runtuhan tanah itu melibatkan kawasan seluas 50 meter (panjang), 60 meter (lebar) dan 3 meter (kedalaman). – MalaysiaGazette