PUCHONG – Beberapa laluan pejalan kaki berhadapan salah sebuah kediaman di Taman Wawasan 3 di sini yang terlibat dalam runtuhan mengalami kerosakan teruk apabila berlaku pergerakan tanah kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, pergerakan tanah itu menyebabkan laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira 2 meter itu runtuh.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 9 pagi tadi mendapati, laluan pejalan kaki salah sebuah dari sembilan rumah yang diarahkan kosong itu masih tidak runtuh sehingga jam 5.30 petang tadi.

Pemantauan MalaysiaGazette juga mendapati, laluan itu pada awalnya telah diletakkan kanvas oleh pihak kontraktor, namun tidak kelihatan selepas runtuhan susulan berlaku petang tadi.

Terdahulu, Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim mengesahkan kawasan perumahan tidak selamat diduduki susulan pergerakan tanah masih aktif sejak jam 1 petang tadi.

Menurutnya, runtuhan susulan itu masih berlaku ketika beliau melakukan tinjauan ke tapak kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tanah runtuh itu.

Anbalagan memberitahu, hanya empat kenderaan sahaja didapati terhumban dalam runtuhan itu kira-kira jam 7.30 malam semalam.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 7.26 petang semalam melibatkan sembilan kediaman berhampiran kawasan runtuhan di Taman Wawasan 3, di sini.

Runtuhan tanah itu melibatkan kawasan seluas 50 meter (panjang), 60 meter (lebar) dan 3 meter (kedalaman). – MalaysiaGazette