PETALING JAYA – Pasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat kembali semula ke Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hari ini.

Beberapa anggota forensik itu dilihat memasuki blok kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin pada jam 3.25 petang tadi.

Difahamkan kehadiran mereka untuk menjalankan siasatan di tujuh buah rumah yang tidak berpenghuni di tingkat tiga dan empat blok berkenaan.

Mereka kemudian meninggalkan lokasi pada 4.54 petang selepas melakukan hampir dua jam menjalankan pemeriksaan.

Terdahulu pasukan forensik berkenaan tiba dengan tiga buah kenderaan pada jam 3 petang.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan sehingga kini tiada petunjuk baru berhubung siasatan pembunuhan kanak-kanak berkenaan.

Namun beliau berkata, siasatan akan diteruskan.

Polis membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap kes tersebut selepas kematian Zayn diklasifikasikan sebagai kes bunuh. – MalaysiaGazette