Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim bercakap kepada media mengenai tanah runtuh di perumahan di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/4 di Taman Wawasan, Puchong, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 17 DISEMBER 2023.

PUCHONG – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengesahkan masih ada pergerakan tanah di kawasan runtuhan di Taman Wawasan 3, di sini, setakat jam 1 tengah hari tadi.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, ketika meninjau kawasan runtuhan, beliau sendiri melihat runtuhan kecil masih berulang.

“Kawasan Taman Wawasan 3 ini pergerakan tanah masih aktif sekarang ini sebab ada berlaku sedikit pergerakan tanah saya nampak tadi.

“Pergerakan tanah ini berbahaya dan keadaan ini kita kena berhati-hati.

“Sebab itu kita lakukan kerja-kerja awalan mencegah tanah berhampiran daripada runtuh,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan kira-kira 30 minit di lokasi runtuhan tanah di Taman Wawasan 3, tengah hari tadi.

Dalam pada itu, ketika ini pihaknya sedang giat memasak cerucuk besi keluli di kawasan kejadian bagi menstabilkan struktur tanah perumahan terbabit.

“Kerja-kerja awal pemasangan ship pile sepanjang kawasan yang runtuh.

“Kemudian kita akan pasang kanvas sebab kita risau petang nanti mungkin akan berlaku hujan,” katanya.

Selain sembilan unit rumah terjejas, beliau turut menasihatkan penduduk berdekatan agar berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

“Memang kawasan ini tidak selamat dan kita kena pindah, rumah sahaja.

“Walaupun rumah lain bukan dalam kawasan berisiko, namun penduduk berdekatan dinasihatkan pindah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette