PUCHONG – Polis mengesahkan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan Taman Wawasan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, A.A. Anbalagan berkata, bagaimanapun hanya empat kenderaan milik penduduk terhumban ke lereng bukit dalam kejadian pada 7.26 malam semalam.
“Tiada kemalangan jiwa berlaku, cuma dari segi aset ada empat kenderaan sahaja yang dilaporkan telah terhumban masuk ke dalam tanah runtuhan,” katanya pada sidang media di Taman Wawasan 3, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 7.26 petang semalam melibatkan sembilan kediaman berhampiran kawasan runtuhan di Taman Wawasan 3, di sini.
Runtuhan tanah itu melibatkan kawasan seluas 50 meter (panjang), 60 meter (lebar) dan 3 meter (kedalaman).
Dalam pada itu, beliau mengesahkan kontraktor binaan sedang menanam sebanyak 375 cerucuk besi keluli sejak jam 4 pagi tadi.
“Mengikut kontraktor, kerja-kerja itu meliputi kawasan seluas 150 meter dengan menggunakan 375 cerucuk besi keluli untuk mengehadkan pergerakan tanah,” katanya.
Selain itu, Air Selangor juga telah menutup bekalan air di kediaman yang terlibat dalam kejadian itu
“Ini kerana paip di bawah tanah didapati telah pecah susulan pergerakan tanah, mereka telah tutup sumber air tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette