Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bermula 1 Januari 2024, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenakan caj sebanyak RM1 bagi setiap perjalanan kepada bukan warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan bas GOKL.

Caj itu akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat laluan di sekitar pusat bandar iaitu Laluan 01 (Hijau), Laluan 02 (Ungu), Laluan 03 (Merah) dan Laluan 04 (Biru).

Transaksi pembayaran adalah tanpa tunai iaitu melalui kad Touch&Go, kod QR, kad kredit atau kad debit, kenyataan DBKL hari ini.

Manakala bagi warganegara Malaysia yang menggunakan Mykad mempunyai sistem Touch & Go adalah dikehendaki membuat pendaftaran MyKad tersebut bagi menikmati perkhidmatan percuma.

Perkhidmatan Bas GOKL adalah percuma bagi SEMUA kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah.

DBKL akan menyediakan kaunter pendaftaran mulai 1 Disember 2023 dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 7 malam di tiga lokasi iaitu Hentian Bas KLCC, Hentian Akhir Titiwangsa (Pekeliling) dan Hentian Akhir Pasar Seni.

Petugas DBKL juga akan ditempatkan di dalam Bas GOKL
terpilih bagi tujuan tersebut.

Kaunter pendaftaran secara berkala di Lobi Menara DBKL 1 akan dibuka pada setiap hari Rabu mulai 6 Disember 2023 dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi 03 – 2028 2298 (waktu pejabat) atau emel kepada : [email protected] . – MalaysiaGazette