Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita yang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan reman polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Kedah, kelmarin, disahkan disebabkan radang paru-paru (pneumonia) dan tiada sebarang kecederaan berunsur jenayah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata doktor mengesahkan punca kematian wanita berusia 34 tahun itu adalah disebabkan pneumonia dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, proses bedah siasat dan ujian pengesanan COVID-19 terhadap orang kena tahan (OKT) berkenaan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar semalam.

“Bagaimanapun, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Koroner,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita berkenaan sebelum ini direman sejak Selasa lepas di lokap Balai Polis Kuah, IPD Langkawi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1852.

Dia kemudian mengadu tidak sihat pada malam 15 Dis dan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi serta ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Namun wanita itu dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi keesokannya dan mayatnya dibawa ke di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat.  – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast