Bekas Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Wahialkhan meninggal dunia.

PEKAN – Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Begitulah kenangan budi  bekas Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Wahialkhan Ibrahim, 62, yang menghembuskan nafas 9.33 malam tadi setelah mengalami gejala sesak nafas pada petang semalam akibat penyakit kanser tulang.

Semasa beliau bertugas, Tengku Mahkota Pahang merupakan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah.

Faridah Awang Chik (kiri) bersama Wahialkhan Ibrahim.

Menurut anak kedua arwah, Aidid Muharram Awaludin, meskipun menanggung derita sejak tahun awal tahun lalu, ia tidak menghalang bapanya bertanya khabar semua kenalan dan saudara mara – sama seperti ketika dia sihat.

”Arwah ayah yang sakit tapi dia rajin tanya khabar orang,” luahnya yang reda dengan pemergian bapanya.

Jelas Aidid, kehadiran ramai saudara mara dan kenalan arwah memberikan penghormatan kali terakhir di rumah, masjid dan ke tanah perkuburan menunjukkan kasih sayang orang sekeliling arwah sepanjang hayatnya dahulu.

”Arwah ayah sangat baik dengan orang luar, memang dia akan membantu sesiapa sahaja. Tengok kehadiran orang ramai ini memang terharu. Ramai orang sayang ayah. Walaupun dia yang sakit tapi sempat lagi tanya khabar orang lain.

”Kami ada enam beradik, banyak perngorbanan ayah kepada keluarga dan orang ramai. Antara kami dan orang luar, ayah dahulukan mereka (orang luar) kerana ayah tahu anak-anak berdikari.

Ahli keluarga Allahyarham Wahialkhan Ibrahim membacakan doa di pusara arwah sejurus dikebumikan di Pekan hari ini

”Lebih 30 tahun ayah berkhidmat di Pahang dan selepas pencen baru didiagnos sakit kanser dan tidak boleh berjalan selepas pembedahan sejak Februari lalu,” katanya ketika ditemui hari ini,

Bapanya dilahirkan pada 9 Ogos 1961, berasal dari Pekan itu telah dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarga setelah diminta oleh Wahialkhan sendiri.

Jenazah arwah dimandikan di Surau Al-Makmur sebelum disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 8 Lepar Banjir, Pekan pagi tadi.

Wahialkhan meninggalkan seorang balu, Faridah Awang Chik, 55, serta tiga anak lelaki, tiga anak perempuan berusia antara 19 hingga 33 tahun dan empat orang cucu lelaki.

Beliau telah memberikan perkhidmatan lebih 30 tahun di Pahang dan pernah bekerja sebagai Juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Kemajuan Pahang tenggara (DARA) semasa awal perkhidmatan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Lembaga Pembangunan Tioman sebelum bersara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast