KUALA LUMPUR – Suasana di pusat beli belah SOGO Kuala Lumpur bertukar meriah apabila orang ramai dikejutkan dengan persembahan flashmob khas sempena promosi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Aktiviti berkonsepkan guerilla marketing itu menjadi sebahagian daripada usaha membawa kemeriahan MAHA 2026 lebih dekat kepada masyarakat, khususnya warga kota dan golongan muda.
Persembahan flashmob yang berlangsung secara spontan di ruang tumpuan orang ramai menampilkan elemen muzik, tarian dan identiti MAHA 2026.
Kehadiran para penari yang muncul secara tiba-tiba mencuri perhatian pengunjung sebelum mereka bersama-sama memeriahkan suasana menerusi persembahan yang bertenaga.
Lebih istimewa, persembahan tersebut turut disertai penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir yang merupakan penyanyi lagu rasmi MAHA 2026.
Kemunculan Faizal, 48, mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengunjung apabila dia tampil menyertai persembahan dan berinteraksi dengan orang ramai.

Kehadiran penyanyi lagu popular Mahakarya Cinta turut memberi nafas baharu kepada pendekatan promosi MAHA 2026 melalui gabungan muzik, hiburan dan pengalaman secara langsung.
Aktiviti flashmob ini turut menjadi pembuka kepada perjalanan promosi MAHA 2026 menggunakan bas HOHO yang telah mengelilingi beberapa lokasi ikonik di sekitar Kuala Lumpur termasuklah Istana Budaya dan KL Tower.
Bas berkonsepkan MAHA 2026 itu membawa mesej dan identiti pameran secara bergerak bagi menarik perhatian orang ramai serta memperkenalkan MAHA 2026 kepada masyarakat di luar kawasan penganjuran.
Pendekatan guerilla marketing memberi pengalaman berbeza kepada orang ramai, selain mengetengahkan MAHA 2026 sebagai acara yang menggabungkan pertanian, teknologi, inovasi, agromakanan, hortikultur, agropelancongan dan hiburan.
MAHA 2026 berlangsung selama 10 hari bermula semalam mhingga 6 September ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.
Bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, MAHA 2026 memberi penekanan kepada pemodenan sektor agromakanan menerusi penggunaan teknologi, inovasi serta penghasilan nilai sepanjang rantaian makanan. – MalaysiaGazette
















