Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing yang melarikan seorang remaja perempuan Myanmar pada 7 Disember lalu berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek diberkas sehari selepas kejadian di sekitar kawasan kampung Pandan.

“Pada 8 Disember jam lebih kurang 3.40 petang, sepasukan polis dari IPD Ampang Jaya telah membuat tangkapan terhadap dua lelaki pemegang kad UNHCR umur 17 tahun dan 37 tahun di sekitar kawasan kampung pandan. Semasa tangkapan juga, Mangsa turut bersama dengan suspek,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati salah seorang daripada suspek ingin berkahwin dengan mangsa yang baru berusia 13 tahun.

Bagaimanapun katanya, hasrat tersebut tidak direstui keluarga gadis berkenaan.

Menurut Mohd Azam, seorang daripada suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Ujian air kencing juga bebas sebarang dadah. Turut dirampas dua buah telefon bimbit untuk membantu siasatan,” tambahnya.

Sebagai rekod pada 2.30 petang, 7 Disember lalu seorang lelaki pemegang UNHCR berumur membuat laporan bahawa adik perempuannya dilarikan oleh seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta.

Kejadian berkenaan berlaku di sekitar Jalan Memanda Ampang Point.

Katanya, kedua-dua suspek direman sehingga Jumaat.

Sementara itu katanya lagi, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang.

Jika sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.-MalaysiaGazette