Poster filem pendek, Kebun Mimpi.

SHAH ALAM – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini melahirkan inovasi terkini dengan penghasilan filem pendek berjudul ‘Kebun Mimpi’ untuk mempromosikan program Sarjana Muda Pengurusan Komunikasi dan Polisi (CMP).

Dekan FKPM, Prof. Madya. Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman berkata, filem tersebut menyampaikan mesej secara halus mengenai peluang yang dapat diperoleh daripada program ijazah yang ditawarkan di UiTM, khususnya program Pengurusan Komunikasi dan Polisi (CMP).

Menurutnya, secara khususnya, program CMP ditawarkan sebagai respons kepada permintaan semasa terhadap tenaga profesional komunikasi.

“Filem ini menjadi produk promosi yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap program CMP di bawah FKPM dan merangsang minat lulusan diploma dalam bidang Komunikasi dan Media, serta lepasan STPM/Diploma lain/Matrikulasi/Asasi yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

““Graduan CMP mempunyai keupayaan untuk mengurus, memimpin, dan menerajui transformasi organisasi. Mereka bukan sahaja memahami aspek teori komunikasi, tetapi juga mampu mengaplikasikan pengetahuan mereka dengan baik dalam konteks praktikal.

“Setiap pelajar yang diterima dalam program ini dianggap sebagai bakal pemimpin. Mereka dididik untuk memahami, membuat sintesis dan mengaplikasikan ilmu serta kemahiran mereka untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Graduan Program Pengurusan Komunikasi dan Polisi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Tambah beliau, ‘Kebun Mimpi’ dibintangi pelakon ternama Malaysia iaitu Zizan Nin dan juga pelakon yang sedang meniti tangga kejayaan, Hazzy Alzeeq.

Katanya, dengan durasi lima minit, filem itu membawa penonton melalui kisah yang memaparkan unsur kasih sayang, kecekalan diri, keyakinan, dan keazaman. Matlamat utama ‘Kebun Mimpi’ adalah menjadi alat komunikasi efektif untuk menarik lebih banyak bakal mahasiswa ke program CMP.

Dr. Abd. Rasid berkata, secara ringkasnya, filem tersebut mengisahkan seorang remaja bernama Adam yang punya impian dan berhasrat untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah di UiTM. Ia meneroka kemelut dalam diri Adam yang terpaksa cuba meyakinkan ayahnya yang uzur bahawa dia membuat keputusan yang betul.

“Penerbitan filem pendek yang pertama kali seumpamanya dibuat oleh mana-mana program ijazah di bawah fakulti ini adalah satu langkah inovatif, berani dan signifikan dalam mengukuhkan kedudukan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media sebagai peneraju dalam bidang pengurusan komunikasi dan polisi.

“Mengenai Program Pengurusan Komunikasi dan Polisi, program ini telah menempa kejayaan sejak menerima kohort pertama pada tahun akademik 2007/2008. Dengan 694 graduan yang berjaya menempatkan diri di pasaran kerja selepas konvokesyen pertama pada tahun 2011, CMP terus menjadi pilihan utama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast