KUALA LUMPUR – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki dewasa yang dilaporkan hilang sejak 12 Disember lalu di Petaling Jaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,Superintendan M. Hussin Solllehhuddin Zolkifly berkata, orang hilang itu dikenal pasti sebagai warga tempatan bernama Muhammad Saharuddin Mat dan berusia 29 tahun.
Katanya, pada 13 November lalu jam lebih kurang 12.16 tengah hari, pihaknya telah menerima satu laporan bersabit kehilangan Muhammad Saharuddin.
“Kali terakhir Muhammad dilihat berada di rumah beralamat G-103A Apartment Harmoni, Jalan PJU10/4C Damansara Damai, Petaling Jaya pada 12 Disember lebih kurang 11.30 pagi.
“Mangsa berkulit sawo matang, berbadan kurus tinggi, berambut pendek dan hitam serta pakaian terakhir adalah t-shirt warna biru gelap dan seluar panjang warna hitam semasa keluar dari rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan mangsa agar tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus ke bilik Gerakan IPD Petaling Jaya ditalian 03-796 6222.- MalaysiaGazette