Pemenang-pemenang cabaran lasak Gemas Warriors Challenge 2023.

GEMAS – Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) baru-baru ini mengumumkan para pemenang cabaran lasak Gemas Warriors Challenge 2023 yang berlangsung pada 17 Disember lalu.

Setiausaha MDT, Zulhilmi Marzuki berkata, Gemas Warriors Challenge 2023 merupakan program berbentuk larian berhalangan sekaligus mencabar kekuatan fizikal dan mental para peserta.

Program itu itu disertai lebih 400 peserta termasuk dari Johor, Terengganu, Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan juga Perak.

R. Vijaya Sanggaran, 17, dan Ainur Saafiqah Azmi, 21, menjuarai Gemas Warriors Challenge 2023 yang berlangsung di Gemas Golf Resort, Tampin pada Ahad lalu.

Vijaya Sanggaran (kiri) dan Ainur Saafiqah.

Vijaya yang berasal dari Port Dickson meraih gelar juara dalam kategori cabaran lelaki dengan mencatatkan waktu 20 minit sementara Ainur Saafiqah dari Seremban menjadi juara dalam kategori wanita setelah menyelesaikan larian dengan waktu 35 minit, katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Zulhilmi, selaku juara bagi edisi 2023 ini, mereka masing-masing meraih hadiah wang tunai RM500.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Majlis Daerah Tampin, S. Veerapan bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadiah wang tunai turut disediakan kepada para pemenang sehingga tempat kelima dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan.

Katanya, acara yang julung kalinya diadakan itu bertujuan mempromosikan sukan lasak dan menarik lebih ramai pelancong domestik datang ke negeri itu khususnya daerah Gemas.

Zulhilmi berkata, tahun ini, MDT mewujudkan produk sukan lasak ke Gemas bagi merancakkan ekonomi dan pelancongan di daerah itu.

“Saya yakin Gemas Warriors Challenge itu dapat menaikkan nama daerah Tampin sebagai tarikan kepada peminat sukan lasak,” ujarnya. – MalaysiaGazette