Mohamad Fazli ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Selekoh 'S' Kulai, Johor hari ini.

KULAI – Hampir  RM18 juta akan diperuntukan kerajaan Johor bagi kerja membaik pulih jalan raya di negeri itu yang dikategorikan sebagai projek sakit pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerja pembaikan melibatkan Jalan Kempas (Johor Bahru), Kampung Rahmat (Batu Pahat) dan Kampung Sawah (Pontian).

Selain daripada itu, kerajaan negeri juga berusaha mengenal pasti beberapa lagi jalan dalam keadaan kurang baik hasil maklumat daripada pelbagai pihak.

“Setakat ini, dua projek sakit sudah memulakan kerja iaitu di Jalan Kempas, Johor Bahru dan Kampung Rahmat, Batu Pahat manakala Kampung Sawah, Pontian dalam proses tender.

“Kos bagi menyiapkan baki kerja projek sakit ini ialah RM11.9 juta  bagi Jalan Kempas dan masing-masing RM3 juta bagi Kampung Rahmat dan Kampung Sawah, ketiga-tiga projek sakit ini akan siap tahun depan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Selekoh ‘S’ Kulai, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fazli,  kelancaran projek itu akan dipantau secara dekat oleh Pengarah JKR negeri dan akan memberi laporan kepadnya setiap bulan.

Dalam pada itu beliau turut menyaksikan penyerahan projek menyiapkan baki kerja bagi cadangan memperelok jajaran di laluan FT001 Johor Bahru ke Air Hitam, KM38-40 Kulai, Johor – Selekoh ‘S’ oleh JKR Negeri Johor kepada BPENJ.

Jalan sepanjang 1.3 kilometer  itu melibatkan kos keseluruhan RM9.5 juta.

“Ini juga termasuk RM3.84 juta bagi kos menyiapkan baki kerja. Projek itu dimulakan pada 2016 namun terdapat masalah pada 2021 menyebabkan kontraktor lama ditamatkan perkhidmatan sebelum disambung semula dalam masa lapan bulan dan siap bulan lalu.

“Projek jalan ini sudah siap sepenuhnya pada 21 November lalu dan mula digunakan pada 22 November,” katanya.-MalaysiaGazette