Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) beriltizam  memartabatkan penguasaan Bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan Bahasa Inggeris melalui pelaksanaan Dual Language Programme (DLP).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan DLP yang menjadi polemik baru-baru ini merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Lawatan di lapangan menunjukkan terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas Bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

“Oleh itu, sekolah yang bersetuju untuk melaksanakan DLP wajib memastikan semua kriteria dipenuhi termasuklah penguasaan Bahasa Melayu.

“Pada masa yang sama, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan Bahasa ibunda di sekolah vernakular,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Fadhlina, berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan DLP KPM tahun 2021 bertarikh 26 November 2020 – sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan agar peluang murid-murid yang lain untuk mengikuti mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak terjejas.

Menurutnya, pengurusan pelaksanaan DLP melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.

Beliau kata, pihak sekolah diberikan kebenaran untuk membuka lebih daripada satu kelas DLP bagi murid tahun satu dan tingkatan satu berdasarkan kesediaan sekolah serta penilaian oleh PPD dan JPN.

Sementara itu, kelulusan pelaksanaan DLP tertakluk kepada keputusan KPM berdasarkan kes-kes setiap sekolah dan KPM mengambil pendekatan manusiawi iaitu murid-murid kohort sedia ada masih dibenarkan untuk meneruskan kelas DLP.

Bagaimanapun, sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi kohort baharu murid tahun satu dan tingkatan satu pada sesi 2024/2025.

Fadhlina Sidek berkata, JPN turut bertanggungjawab untuk memetakan sekolah menengah penerima (acceptor) bagi memastikan setiap kohort murid dapat meneruskan pembelajaran dalam kelas yang melaksanakan DLP di peringkat menengah.

“KPM akan terus memantau dan memberikan penerangan mengenai pelaksanaan DLP kepada pentadbir sekolah mengikut keperluan.

“KPM terbuka kepada cadangan serta keperluan inisiatif lanjut daripada masyarakat termasuklah mengadakan sesi dialog bersama pemegang taruh,” ujarnya. – MalaysiaGazette