Saluran paip di dasar Sungai Perai pecah semula selepas proses kimpalan pada 21 Disember lalu.

GEORGE TOWN – Proses kimpalan paip 1,350 milimeter (mm) milik Perbadanan Belakan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang pecah di dasar Sungai Perai dijadualkan siap hari ini tergendala.

Ia kerana ia dilaporkan bocor semula.

Situasi itu sekali gus mengakibatkan 120,000 pengguna air di Daerah Barat Daya berdepan situasi gangguan bekalan air teruk sejak pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K. Pathmanathan berkata, operasi kimpalan bawah air yang dilaksanakan sejak dua hari lalu itu telah selesai namun berlaku kebocoran semula ketika operasi mengepam masuk air dimulakan pukul 11.40 pagi.

Jelas beliau, kebocoran dikesan dengan air memancut di permukaan sungai.

Pathmanathan melakukan tinjauan di lokasi operasi kimpalan di lakukan.

“Meskipun berlaku kebocoran dan kehilangan air, PBAPP akan terus mengepam air terawat melalui saluran paip 1,350 milimeter itu ke kawasan Barat Daya.

“Ini kerana PBAPP akan melaksanakan gangguan bekalan air berjadual mulai 8 malam hari ini hingga 8 pagi esok.

“Sehubungan itu, kita nasihatkan pengguna sekitar Daerah Barat Daya supaya mengisi penuh semula tangki serta bekas air sehingga pukul 8 malam ini,” katanya dalam satu kenyataaan hari ini.

PBAPP akan turut mengerahkan lebih daripada 10 tangki air ke kawasan hujung rangkaian paip agihan dan kawasan lebih tinggi petang ini.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, operasi kimpalan paip bocor itu dijadual bermula 8.30 malam ini selepas saluran paip ditutup semula.

Operasi kimpalan paip bocor dijadual bermula 8.30 malam ini selepas saluran paip ditutup.

“Ini kerana plat dan pengapit tidak boleh dipasang jika air sedang dipam melalui bahagian saluran paip yang bocor.

“Kerja pembaikan dan normalisasi bekalan air mengambil masa lebih lama daripada jangkaan kerana ini adalah senario tindak balas kecemasan yang melibatkan segmen saluran paip berdiameter besar yang ditenggelami dalam sungai.

“Bagaimanapun, kita menyasarkan menormalisasikan bekalan air kepada pengguna terjejas sebelum jam 8 pagi esok,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan mengemas kini perkembangan dan jadual lori tangki di Facebook rasmi PBAPP.

“Kita mohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas,” katanya.

Media pada 19 Disember lali melaporkan PBAPP melaksanakan pelan tindak balas kecemasan membabitkan saluran paip 1,350 milimeter (mm) yang pecah di dasar Sungai Perai.

Saluran paip pecah itu adalah paip utama menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast