LONDON – Nottingham Forest mengumumkan Nuno Espirito Santo sebagai pengurus baharu bagi menggantikan Steve Cooper.
Forest melantik bekas pengurus Wolverhampton Wanderers dan Tottenham Hotspur itu selepas memecat Cooper.
Ia susulan kekalahan kelima dalam enam perlawanan yang menyaksikan mereka jatuh di tangga ke-17 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL), lima mata di atas zon penyingkiran.
“Nuno menyertai kelab dengan kontrak dua setengah tahun dan akan mula bertugas ketika Forest menentang Bournemouth di tempat sendiri..
“Ketua jurulatih baharu akan mengendalikan sesi latihan pertama pagi ini bagi mempersiapkan pasukan menghadapi perlawanan itu,” menurut kenyataan kelab itu.
Pengurus dari Portugal itu mengendalikan Wolves empat tahun dan membantu mereka kembali ke EPL pada musim pertamanya di sana.
Bekas pemain dan pengurus Porto itu kemudiannya menyertai Spurs pada Jun 2021 dan bermula cemerlang apabila memenangi tiga perlawanan pertamanya tetapi tewas lima kali dalam tujuh aksi selepas itu sekali gus digantikan dengan Antonio Conte.
Nuno kemudiannya dilantik pengurus kelab Arab Saudi Al-Ittihad dan membawa kelab itu menjuarai liga pertama mereka dalam tempoh 14 tahun tetapi dipecat pada November selepas tanpa kemenangan dalam lima perlawanan. – Agensi