Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu

KLANG – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mendedahkan beliau tidak mempunyai pasukan atau ‘kem’ yang menyokongnya untuk terus memegang tampuk kuasa parti itu.

Malah, beliau sendiri tidak dapat meneka apakah nasibnya pada pemilihan parti kali ini.

“Saya tidak ada kem. Tetapi pimpinan akan lihat siapa yang berupaya mengemudi parti untuk masa depan. Ada 27 pemimpin, kalau pilih siapa pun, ahli parti akan terima pasukan yang akan diumumkan petang esok.

“Dalam parti ini, kena terima sahaja siapa yang diterima dan dipilih. Saya sendiri tidak tahu peluang saya untuk terus terajui parti selepas ini,” katanya katanya pada Pidato Presiden dan Perasmian Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sini hari ini.

Katanya, setiap hari rutin beliau hanya masuk pejabat dan ‘tengok telur ayam dan padi sahaja’ – menggambarkan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Oleh itu, beliau menyerahkan kedudukannya sepenuhnya kepada 27 pimpinan yang terpilih untuk menentukan barisan baru kepimpinan esok.

Amanah akan mengadakan pemilihannya pada penghujung konvensyen dengan kaedah pemilihannya dilakukan menerusi undian dalam talian sekitar jam 4 dan 5 petang esok.

Difahamkan lebih 1,000 perwakilan yang layak akan memilih 27 dari 102 pemimpin yang sudah mencalonkan diri sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast