Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan kesan tembakan pihak polis kepada tiga penjenayah yang mati dipercayai warga asing membabitkan samun dan pecah rumah dengan bersenjata api di sekitar Jalan SJ7, Taman Selayang Jaya ketika di Balai Polis Ibu Pejabat Daerah Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2023.

GOMBAK – Polis berjaya menumpaskan Geng Rantau Fiesta etnik Rohingya yang aktif terlibat dalam lebih 50 kes samun dan pecah rumah selepas menembak mati tiga penjenayah warga Rohingya geng tersebut.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian jam lebih kurang 12.30 tengah malam tadi sepasukan anggota polis yang sedang terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Ford Fiesta yang mencurigakan di kawasan Selayang Jaya.

Katanya, pasukan peronda telah memintas dan mengarahkan kereta suspek berhenti tetapi tidak mendapat kerjasama/

“Suspek tiba-tiba bertindak agresif dan melepaskan tiga das tembakan ke arah polis sebelum anggota membalas dengan tujuh das tembakan ke arah suspek.

“Sejurus selesai adegan berbalas tembak, pemeriksaan polis di dalam kenderaan Ford Fiesta telah menemui tiga suspek lelaki warga asing tidak bernyawa dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk depan dan belakang sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan dua pistol dan sebilah parang yang dirampas selepas kejayaan pihak polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai warga asing yang membabitkan samun dan pecah rumah dengan bersenjata api di sekitar Jalan SJ7, Taman Selayang Jaya ketika di Balai Polis Ibu Pejabat Daerah Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2023.

Turut bersama dalam sidang media Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam dan Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohd Nasir.

Tambah beliau,pemeriksaan lanjut pada kenderaan suspek berjaya membawa kepada rampasan dua pucuk pistol dan sebilah parang yang mana polis percaya geng Rohingya itu sudah merancang dan bersiap untuk melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan Pasar Borong Selayang dan Batu Caves.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek adalah etnik Rohingya berusia 30-an sementara dua daripadanya adalah Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang kad pengenalan diri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan melihat kenderaan yang digunakan tiga penjenayah yang ditembak mati dipercayai warga asing yang membabitkan samun dan pecah rumah dengan bersenjata api di sekitar Jalan SJ7, Taman Selayang Jaya ketika di Balai Polis Ibu Pejabat Daerah Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2023.

Menurutnya lagi, kesemua penjenayah itu terdiri daripada tiga hingga empat orang ahli pernah ditangkap atas kesalahan samun dan pecah rumah dan dipenjara pada tahun 2016 dan 2017 sementara salah seorang si mati yang merupakan dalang utama memiliki 12 rekod jenayah lampau.

“Selepas keluar penjara mereka bergabung dan kembali mengaktifkan kegiatan jenayah mereka secara agresif dan menaik taraf modus operandi mereka dengan menggunakan senjata pistol.

Suspek mensasarkan rumah tidak berpenghuni selain turut melakukan  samun.

“Siasatan kami juga mendapati kumpulan ini aktif sejak 2011 di enam negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang dan bertanggungjawab terhadap 50 kes pecah rumah dan samun manakala 27 kes daripadanya telah dilakukan di Selangor sepanjang tahun ini membabitkan kerugian RM1.3 juta kepada mangsa.

“Mereka melakukan jenayah terakhir pada 8 Disember lalu di Batang Kali membabitkan kerugian tiga utas jam tangan mewah Rolex dan dua Hublot bernilai RM445,000 manakala kenderaan yang digunakan mereka diperolehi menerusi sambung bayar untuk kegiatan jenayah mereka yang kebanyakan mensasarkan lokasi Ulu Yam, Hulu Selangor, Batang Kali, Selayang dan Batu Caves,” ujarnya lagi.

Tambah Hussein, polis sedang meneruskan siasatan sekiranya terdapat saki baki suspek dalam kes ini selain mempergiatkan pemeriksaan di rumah suspek di Selayang dan Batu Caves untuk mendapatkan semula barang jenayah samun dan pecah rumah.

Katanya, penjenayah-penjenayah berkenaan memakai topeng dan sarung tangan ketika melakukan rompakan.

Selain itu, mereka juga memilih lokasi yang tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) untuk melakukan jenayah.

Kes sedang disiasat polis di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan dengan bersenjata.-MalaysiaGazette