Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga mula melanda Terengganu pagi ini dengan Marang dan Dungun menjadi daerah terjejas setelah hujan berterusan sejak pagi semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sebanyak 102 orang daripada 25 keluarga ditempatkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun manakala satu di Marang.

Di Dungun, 69 orang daripada 17 keluarga berada di PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan 21 orang daripada lima keluarga di Sekolah Kebangsaan Pusat.

Sebanyak 12 orang daripada tiga keluarga pula berlindung di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai di Marang.

JPBN juga memaklumkan cuaca di sesetengah lokasi di Terengganu dilaporkan hujan.

Berdasarkan laman publicinfobanjir.water.gov.my, empat sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan bacaan 21.72 meter (m), Sungai Setiu di Kampung Besut (17.69m), Sungai Telemong di Kuala Ping (20.1m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak (18.71m).- BERNAMA