KUANTAN – Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini hari ini.
Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 9.11 pagi itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara dan sebuah Honda HRV, kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati nahas berpunca daripada kereta Proton Iswara dipandu mangsa datang dari arah Sungai Lembing hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Ia menyebabkan mangsa telah bertembung dengan kereta Honda CRV yang dinaiki empat sekeluarga.
“Berikutan rempuhan tersebut, Muhammad Daniel Haiqal Yusdi berusia 24 tahun maut di tempat kejadian manakala kesemua pemandu dan penumpang kereta Honda hanya mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Kata Wan Mohd Zahari, mangsa yang cedera seterusnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan lanjut.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette