Seorang maut dan kemudian ditanam di belakang rumah ekoran pergaduhan dua beradik di Sungai Choh, Rawang dekat sini malam tadi.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan pergaduhan dua beradik di Sungai Choh dekat Rawang malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Suptrintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kesemua individu warga tempatan berusia 29 hingga 33 tahun diberkas untuk siasatan yang dikatakan bermotif akibat perselisihan faham antara mangsa dengan salah seorang suspek.

“Siasatan masih diteruskan dan usaha bagi mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kejadian ini sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati tiga orang yang ditahan tidak mengenali mangsa dan mereka hanya dapat tahu mangsa ada masalah dengan teman wanitanya yang merupakan adik perempuan salah seorang suspek yang masih bebas.

Tambah Noor Ariffin, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis mengharapkan bantuan orang ramai yang mempunyai makumat dengan menghubungi pegawai penyiasat ASP Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 012-671 8024.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan ke Bilik Gerakakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di nombor 03-61262242.

Terdahulu, Noor Ariffin memberitahu, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang mengatakan telah terdengar bunyi pergaduhan di rumah jirannya pada pukul 11 pagi.

Katanya, pada pukul 5 petang, wanita itu terdengar perbualan antara suami dan abang ipar jirannya meminta tolong untuk membantu menanam satu mayat.

“Hasil siasatan awal yang telah dijalankan pihak polis telah menjumpai mayat lelaki disyaki warga tempatan tanpa pengenalan diri yang ditanam dalam satu lubang di dalam belukar.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Selepas bunuh, mayat ditanam belakang rumah