Home Utama Rakaman tular pelancong warga China video lama – KP Imigresen

Rakaman tular pelancong warga China video lama – KP Imigresen

KUALA LUMPUR – Sebuah rakaman menunjukkan kebanjiran pelancong warga China dan menjadi tular merupakan video lama yang dimainkan semula.

Rakaman itu juga bukan diambil di lapangan terbang di negara ini sebaliknya dirakam di Dewan Bas, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru pada tahun lepas, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Menuruutnya, video tersebut diambil semasa pintu masuk negara mula dibuka selepas sekatan pergerakan rentas sempadan akibat Covid-19 di tamatkan.

“Video itu dirakamkan semasa pergerakan masuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) juga ingin menafikan bahawa rakaman tersebut telah dibuat di lapangan terbang antarabangsa negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata, mengikut rekod, secara purata pergerakan keluar dan masuk di BSI adalah 250,000 pada hari biasa dan akan meningkat sekali ganda pada musim perayaan.

Sehubungan itu, Ruslin menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Beliau menggesa, pihak-pihak berkenaan melayari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan Jabatan ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast