KUALA LUMPUR – Rantaian bekalan yang terus lebih baik dan permintaan global yang berkurangan akan membantu mengekalkan inflasi dalam julat 2.5 hingga 3.0 peratus pada tahun depan, menurut Kenanga Research.
Di sebalik jangkaan pertumbuhan global merosot pada tahun depan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus berkembang, berpotensi meningkat lebih 4.0 peratus tahun ke tahun, katanya.
“Dengan inflasi domestik dijangka kekal di bawah ambang 3.0 peratus dari segi purata, kami menjangka tiada kecenderungan untuk pengurangan kadar dalam agenda Bank Negara Malaysia (BNM).
“Justeru, BNM dijangka mengekalkan status quo, mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.00 peratus sepanjang 2024,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangka inflasi keseluruhan Malaysia akan mengekalkan pertumbuhan 0.1-0.2 peratus bulan ke bulan, didorong oleh potensi kenaikan harga makanan dengan kemungkinan fenomena cuaca El Nino yang lebih kuat pada 2024.
Ini, dengan faktor luaran lain seperti ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, mewujudkan risiko tambahan untuk menaikkan harga.
“Di peringkat domestik, langkah pelan rasionalisasi subsidi kerajaan, kenaikan cukai perkhidmatan dan pelaksanaan model gaji progresif dijangka meningkatkan tekanan inflasi Malaysia,” katanya.
Pada Jumaat lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata inflasi negara pada November mencatatkan kadar perlahan kepada 1.5 peratus tahun ke tahun (Okt:1.8 peratus), paras terendah dalam tempoh 33 bulan dan di bawah anggaran Kenanga Research dan pasaran sebanyak 1.7 peratus berikutan harga makanan yang lebih rendah daripada jangkaan. – BERNAMA