Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias hadir ke mahkamah bagi perintah membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan dua pertuduhan amang seksual terhadapnya ketika di Mahkamah Sesyen Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 DISEMBER 2023.

KLANG – Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau PU Azman hari ini diperintahkan membela diri selepas Mahkamah Sesyen di sini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun.

Hakim Syafeera Mohd. Said memberi tiga pilihan kepada Azman, 42, sama ada memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Azman kemudian memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah.

Berdasarkan pertuduhan, beliau pada 20 Febuari tahun lalu, pukul 12.15 tengah malam di sebuah inap desa di Sungai Udang  telah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki, berusia 17 tahun.

Beliau turut dituduh melakukan perbuatan yang sama pada 29 Jun pada 1 pagi di lokasi yang sama.

Sehubungan itu, Azman dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan kes.

Azman turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan iaitu lima di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang. – MalaysiaGazette