GEORGE TOWN – Seorang pekerja penyelenggaraan maut selepas kepalanya tersepit pada pintu lif dalam kejadian di sebuah pusat beli belah di Jalan Burma di sini, hari ini.
Mangsa, R. Tinesh Kumar, 28, dikatakan mahu memeriksa lif di lokasi tersebut yang mengalami kerosakan selepas ia tiba-tiba berhenti di antara tingkat satu dengan aras lantai.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.45 petang.
“Sebaik tiba kita dapati seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selain kepalanya tersepit pada pintu lif.
“Pemeriksaan lanjut di dalam lif pula mendapati terdapat seorang pengguna lelaki berusia 53 tahun turut terperangkap.
“Pasukan penyelamat kemudian melakukan tugas khas mengeluarkan kedua-dua mangsa yang mengambil masa kira-kira 10 minit,” katanya hari ini.
Tambah Ahmad Rezki, mangsa yang tersepit itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi.
“Manakala penumpang lif itu tidak mengalami kecederaan dan operasi tamat pada jam 5.56 petang.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette