KUALA SELANGOR – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengarahkan pemilik sebuah ladang penternakan lembu dan kambing di sini menghentikan aktiviti mereka dalam tempoh 14 hari.

Yang Dipertua MPKS, Mohamad Hanafe Basri berkata, walaupun aktiviti itu dilakukan di atas tanah persendirian, namun ia menimbulkan pencemaran bau kepada penduduk setempat.

“Hasil pemantauan mendapati terdapat bau kurang menyenangkan dan menyebabkan kacau ganggu daripada aktiviti penternakan lembu dan kambing.

“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS telah memberikan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Bau Dihapuskan.

“Jabatan Penguatkuasaan MPKS juga telah memberikan Notis Menghentikan Aktiviti Penternakan dalam tempoh 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 200 penduduk di Jalan Pak Itam, Batu 19, Jeram, di sini resah kerana bau tidak menyenangkan itu terpaksa dihidu setiap hari sejak setahun lalu.

Keadaan itu dikatakan berlaku berpunca bau najis dari ladang ternakan, dipercayai diusahakan warga asing dari Bangladesh.

Pencemaran bau itu timbul susulan kedudukan rumah penduduk dengan ladang yang dibina tahun lalu itu hanya kira-kira 50 meter.

Selain itu, Mohamad Hanafe memaklumkan hasil pemantauan pihaknya pada 30 November lalu mendapati terdapat kira-kira 30 ternakan termasuk kambing di dalam kandang di kawasan tanah persendirian.

“Dalam masa sama, pemilik tanah turut melakukan aktiviti penternakan ikan melibatkan dua kolam,” katanya.

Susulan tindakan pihak berkuasa itu, pemilik tanah terbabit akan memindahkan operasi penternakan dalam masa terdekat.

“Pemantauan berterusan dilakukan pada hari ini bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kuala Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette