Gambar hiasan.

TAWAU – Seorang ahli perniagaan wanita di sini mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan emas membabitkan kerugian lebih RM5 juta termasuk pelaburan daripada 300 pelabur lain.

Pemilik Zerina Collection, Liana Friska Ramle berkata, beliau dan 300 pelaburan lain masing-masing membuat pelaburan sebanyak RM3.17 juta dan RM2.18 juta, yang kesemua wang itu diserahkan kepada suspek iaitu seorang wanita mendakwa wakil sebuah syarikat pelaburan emas.

Beliau berkata, suspek telah menjanjikan pulangan lumayan iaitu sebanyak lima hingga 15 peratus dalam tempoh sepuluh hari atau RM25 bagi setiap satu gram emas dilaburkan, manakala modal akan dipulangan secara berperingkat mengikut perjanjian.

“Saya menyertai perjanjian bagi pelaburan emas dengan seorang wanita (suspek). Secara ringkas perjanjian ini merangkumi persetujuan rakan niaga pertama (suspek) untuk memulangkan modal kepada saya dalam tempoh tiga bulan dan fasa bulan serta peringkat pemulangan modal yang dipersetujui.

“Pelabur terima keuntungan pada Mei, Jun dan Julai tetapi tiada (keuntungan diterima) bermula Ogos. Kemudian, pemulangan modal yang sepatutnya dilakukan pada Oktober, November dan Disember juga tidak diterima,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Susulan itu, menurut Liana Friska satu laporan polis dibuat pada 14 Disember lepas bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas kes tersebut dan memastikan orang lain tidak menjadi mangsa penipuan seterusnya.

Peguam Abdul Ghani Zelika, yang mewakili Liana Friska serta beberapa mangsa pelaburan itu berkata pihaknya telah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada suspek pada 11 Disember, tetapi tiada maklum balas diterima dan pihaknya sedang berbincang untuk memfailkan saman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin ketika dihubungi pemberita mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa penipuan itu dan kertas siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama