Allaudeen (tengah)bersama Ashari abu Samah (kanan) dan Noor Dellhan semasa meninjau kawalan keselamatan di kawasan Kedutaan AS malam tadi.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur akan memastikan tiada sebarang struktur atau khemah didirikan di sekitar kawasan berhampiran kedutaan-kedutaan asing di Jalan Tun Razak bermula malam ini.

Ia susulan perhimpunan yang dinamakan ‘Kepung Demi Palestin’ di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang akan diadakan selama enam hari.

Setakat 11 malam tadi, lebih 100 peserta yang mewakili gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid turut hadir memantau perhimpunan terbabit berkata, polis mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam terjamin dan juga keselamatan perwakilan asing sepanjang berada di Malaysia.

“Polis memang bersimpati dan menyokong perjuangan membela nasib Palestin di Gaza bagaimanapun kami juga mempunyai tanggungjawab untuk menjamin ketenteraman awam dan juga keselamatan perwakilan asing di sini.

“Di kawasan ini terdapat kedutaan asing Singapura, Amerika Syarikat , Jepun dan juga beberapa perwakilan asing lain, jadi adalah menjadi tanggungjwab PDRM memastikan premis-premis asing dan pekerja khususnya rakyat asing berada dalam keadaan selamat.

“Jadi, Kita tidak akan membenarkan apa-apa insiden yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam di premis-premis asing ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak malam ini.

Turut turun memantau keadaan ialah Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah dan Ketua Polis Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.

Beliau juga menjelaskan, polis sudah menempatkan anggota dan pegawai yang mencukupi di kawasan ini untuk  menjaga keselamatan.

Allaudeen juga meminta kerjasama semua pihak termasuk yang berhasrat untuk berkhemah agar mempertimbangkan keselamatan orang awam, kenderaan serta lalu lintas agar tidak terganggu

“Kita tidak akan mengambil tindakan selagi mereka mematuhi arahan polis di lapangan tetapi pada masa sama, polis akan memastikan tiada apa-apa struktur atau khemah didirikan di kawasan berhampiran dengan kedutaaan kedutaan asing.

“Saya nasihatkan mereka supaya tidak mendirikan sebarang khemah dan jika kita lihat (ada khemah) tindakan akan diambil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette