Pengusaha perniagaan pekasam, Sharifah Nurul Shahida Syed Abdul Rahman menunjukkan sijil halal pada bungkusan pekasam yang dijualnya di kilang pemprosesan pekasam Shazam, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 DISEMBER 2023.

Oleh: Juliana Anis Ramli

KEWUJUDAN industri halal di pasaran perniagaan dianggap bukan sahaja memenuhi tuntutan agama bahkan ia adalah salah satu segmen yang penting dalam sumbangan terhadap ekonomi negara yang signifikan dan relevan. Keperluan industri halal dalam pasaran adalah satu indikasi terhadap sambutan yang tinggi daripada pelanggan di dalam dan luar negara, berikutan kepada peningkatan dalam permintaan dan kuasa membeli terhadap produk dan perkhidmatan halal.

Maka, tidak hairanlah Malaysia dianggap sebagai peneraju hab halal antarabangsa dan menjadi sumber rujukan penting dari luar negara, lebih-lebih lagi dalam aspek produk makanan dan persijilan halal.

Halal adalah didefinisikan sebagai ‘dibenarkan’ (permitted) dalam hukum Islam yang merangkumi segala aspek termasuk produk (makanan dan minuman) dan perkhidmatan dari pelbagai sektor seperti perbankan dan kewangan, farmaseutikal, kosmetik, logistik, pelancongan, kesihatan dan sebagainya. Islam amat menitikberatkan dalam pengambilan makanan halal demi menjaga kepentingan umat manusia yang bukan sahaja untuk kebaikan dalam memelihara unsur fizikal, tetapi juga menekankan dalam penjagaan elemen yang memenuhi Maqasid As-Shariah termasuk akidah, nyawa, akal, dan harta.

Sebagai negara yang mempunyai populasi dengan majoriti penganut agama Islam, kerajaan amat menekankan kepentingan dalam menjaga kemaslahatan masyarakat sejagat melalui penggunaan barangan keperluan harian termasuk makanan dan minuman, di mana ia terdiri daripada salah satu sembilan skim pensijilan halal bagi syarikat perniagaan yang ingin memohon persijilan halal. Sijil halal ini memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi keyakinan dan kepercayaan kepada pelanggan yang mengutamakan isu kebersihan dan kualiti sesuatu produk makanan atau minuman itu.

Tanpa sijil halal, sudah tentu produk yang dijual di pasaran akan menimbulkan keraguan dalam kalangan pelanggan untuk membelinya. Ini kerana permohonan sijil halal memerlukan komitmen yang tinggi pihak syarikat dalam mementingkan aspek kebersihan, keselamatan dalam proses penghasilan dan penyediaan sesuatu produk, tanpa berkompromi dalam percampuran kandungan makanan dengan elemen yang shubhah atau tidak halal dalam sesuatu produk itu.

Walau bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi yang kian mencabar dan kenaikan kos bahan mentah kini, para pelanggan sentiasa terdedah dengan pelbagai cabaran dalam pembelian produk kerana pengeluaran produk oleh pihak syarikat adalah di luar jangkaan dan pengetahuan oleh para pelanggan. Justeru, bagi syarikat pengeluar produk makanan yang lebih mementingkan keuntungan dan merasakan pematuhan terhadap peraturan dan prosedur halal adalah rumit, akan mengambil kesempatan dalam menghasilkan produk makanan. Ini boleh menimbulkan kesangsian di kalangan pelanggan seperti pemalsuan logo halal, tiada sijil halal, tidak memperbaharui sijil halal, dan proses penyediaan makanan dan penggunaan bahan mentah yang meragukan dari segi aspek kebersihan, keselamatan dan kehalalan sesuatu produk itu.

Lanskap persekitaran perniagaan negara ini adalah dipelopori oleh peniaga bukan Islam (lebih dirujuk pada kaum bukan Melayu), berbanding peniaga di kalangan kaum Melayu. Malahan, dalam konteks perniagaan halal, ia lebih didominasi oleh syarikat kecil-sederhana (SKS) berbanding syarikat sektor korporat yang besar.

Walaupun tiada halangan bagi kaum bukan Melayu untuk menceburi perniagaan dalam pengeluaran produk makanan halal, tetapi kefahaman dalam ilmu dan konsep halal dalam penghasilan dan penyediaan produk makanan adalah amat penting dalam industri halal. Ini termasuk dalam aspek produk, pekerja, proses penyediaan makanan dan penentu keuntungan, yang memenuhi dimensi ekonomi, undang-undang dan etika, di mana perniagaan berperanan sebagai ejen ekonomi dalam pasaran perniagaan.

Oleh itu, syarikat pengeluar produk makanan halal harus berpandangan  perniagaan mereka bukan sekadar untuk menjana ekonomi sesebuah perniagaan itu sendiri, tetapi sebagai menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Syarikat juga perlu memahami bahawa objektif perniagaan dalam industri makanan halal bukanlah sekadar didorong oleh objektif keuntungan dan bersifat retorik semata-mata dalam mendapatkan persijilan halal. Ini tidak akan membantu syarikat untuk bertahan lama dalam senarai syarikat yang ditauliahkan halal oleh pihak JAKIM melalui persijilan halal ini.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa tanggungjawab sosial ini adalah lebih menjurus kepada amalan sesebuah syarikat yang menunjukkan bahawa syarikat lebih bersifat prihatin dan beretika terhadap golongan masyarakat yang memerlukan seperti golongan yang memerlukan (seperti golongan miskin, anak yatim, rumah orang tua, pelajar), penjagaan persekitaran, pemeliharaan sumber tenaga asli dan sebagainya melalui sokongan moral dan kewangan.

Amalan tanggungjawab sosial korporat ini banyak diamalkan oleh syarikat sektor korporat yang mempunyai dana modal yang besar dan faktor kewangan yang kukuh, berbanding dengan syarikat kecil-sederhana yang mempunyai modal yang kecil dan kewangan yang terhad. Oleh itu, amalan tanggungjawab sosial ini amat jarang diamalkan oleh syarikat kecil-sederhana berbanding syarikat sektor korporat atas faktor kewangan dan saiz syarikat tersebut.

Walaupun amalan tanggungjawab sosial korporat ini dipandang tinggi dan dianggap suatu amalan terbaik (best practices) bagi syarikat sektor korporat oleh Suruhanjaya Syarikat dalam usaha mencapai kelestarian sesebuah perniagaan, namun ianya hanyalah suatu amalan perniagaan yang tidak selari dengan operasi sesebuah syarikat itu. Ia hanyalah sekadar sokongan dalam pematuhan kod amalan tadbir urus korporat oleh syarikat sektor korporat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Dalam konteks halal, amalan pematuhan halal dalam penghasilan produk makanan mengikut sepanjang rantaian bekalan halal adalah memenuhi skop amalan tanggungjawab sosial melalui operasi perniagaan. Dengan ini, syarikat akan lebih peka terhadap isu berkaitan halal, kebersihan dan keselamatan sesuatu produk makanan dan mematuhi segala prosedur dan standard halal bagi menjamin integriti halal untuk produk makanan dan selari dengan pematuhan Akta Perdagangan Deskripsi 2011.

Seterusnya ia juga dapat membantu syarikat dalam mengekalkan status persijilan halal mereka dan meningkatkan pencapaian syarikat melalui kepercayaan para pelanggan terhadap produk keluaran mereka.

 

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang.