Penyelia kilang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan amang seksual anak kandung sendiri di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang bapa kepada dua anak tidak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung perempuannya berusia 15 tahun.

Tertuduh berusia 40 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba, meramas dan menghisap buah dada anak perempuannya yang berusia 15 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga penyelia sebuah kilang didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyuruh mangsa sama menghisap kemaluannya.

Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Kedua-kedua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Bandar Tasek Mutiara, Nibong Tebal pada 22 September lalu jam 12 tengah hari dan 13 Disember lalu, jam 3 petang.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 14 (b) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan boleh disebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding Mohammad Syafiq tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh susulan mangsa masih tinggal sebumbung dengan tertuduh.

Bagaimanapun, dalam rayuan tertuduh meminta dibenarkan ikat jamin dengan alasan dia yang berpendapatan RM3,000 sebulan perlu menanggung isteri, dua anak berusia lima dan 15 tahun serta ibu yang menghidap kanser.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 30 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast