KUALA LUMPUR – Pelakon Rita Rudaini secara terbuka menuntut permohonan maaf daripada seorang guru yang didakwa menyebarkan fitnah ke atas dirinya.
Malah ibu kepada dua cahaya mata itu juga tidak teragak-agak mendedahkan wajah guru berkenaan dalam media sosial jika gagal berbuat demikian sebelum tamat cuti persekolahan ketika ini.
“Selepas cuti sekolah, cikgu telefon saya, kita borak-borak manja sebelum saya nekad ‘tampal’ muka cikgu dalam media sosial.
“Selagi awak tidak menghubungi saya, sikit-sikit saya akan bagi pembayang (clue),” ujarnya di InstaStory miliknya.
Rita, 47, turut meluahkan rasa kesal dengan menyelar sikap guru tersebut sebagai ‘toksik’, suka mengumpat dan bercakap buruk tentang anak dan dirinya dalam kalangan guru lain di sekolah.
“Dengar-dengar cikgu (guru) ini selalu membawang (mengumpat) pasal anak saya. Hati busuk sangat dengan saya kenapa?
Sementara itu, dalam hantaran berbeza, pemilik nama lengkap Rita Rudaini Mokhtar itu memohon maaf apabila terpaksa mendedahkan nama sekolah yang menjadi tempat guru tersebut mengajar (bekas sekolah anaknya) kerana terpaksa dan sebagai pengajaran untuk guru-guru lain mengambil iktibar.
Malah, pelakon Mami Jarum itu percaya anaknya bukan satu-satunya murid yang menjadi ‘mangsa’ umpatan guru terbabit apabila difitnah dan menjadi bahan umpatan di sekolah.
“Saya terpaksa sebut nama sekolah. Takkan saya nak sebut nama sekolah lain pula. Harap perkara ini jadi pengajaran. Saya tahu, bukan saya seorang sahaja begini.
“Ada murid dan ibu bapa lain (turut menjadi bahan umpatan), cuma mereka takut untuk bersuara kerana bimbang anak mereka akan ‘diserang’.
“Tapi saya kena tegur sebab fitnah itu sangat berat untuk kami,” luahnya.
Dalam hantaran lain, Rita turut meluahkan rasa kesal dengan sikap guru terbabit apabila suka menyebarkan fitnah dan mengumpat orang lain, kerana menganggap pekerjaan sebagai pendidik merupakan tugas mulia.
Lebih membuatkan Rita kesal apabila guru tersebut digambarkan memiliki personaliti yang baik kerana cantik dan menutup aurat, namun sikapnya tidak sepadan dengan sifatnya sebagai seorang guru.
Beberapa hari lalu, Rita berang apabila meluahkan rasa kesal setelah dituduh merampas hak golongan kurang berkemampuan atau B40 dengan menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan yang ditanggung kerajaan.
Lebih membuatkan pelakon itu berang apabila tuduhan berbaur fitnah itu datang daripada individu bergelar guru.
“Dahulu, guru ini umpama lilin yang berkorban apa sahaja untuk memastikan murid-muridnya mendapatkan ilmu.
“Sekarang, ada segelintir guru umpama racun, asid dan toksik. Lebih suka mengumpat dan memfitnah pelajar serta ibu bapa daripada mengajar.
“Tahu-tahu hujung bulan cucuk duit di mesin pengeluaran wang. Sangat jijik!” katanya dalam InstaStory hari ini.
Tambah Rita, perkara tersebut dilalui anaknya selepas bertukar daripada sekolah swasta ke sekolah kerajaan. – MalaysiaGazette
Takyah la ugut2 camni. Nanti yg jd mangsa ialah anak sendiri. Ingat cikgu2 tu tak simpan dendam kah jika dok viralkan muka dia. Skang ni cuma sorg ka cikgu wat hal, lepas viralkan muka dia, bertambah pulak cikgu yang anti anak kamu rita oi.