KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memburu ‘jerung besar’ sindiket dadah susulan kejayaannya menumpaskan kartel dadah syabu terbesar di Sabah yang didalangi oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, sasaran itu dalam usaha membanteras sepenuhnya kegiatan ini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang).
Beliau berkata, operasi tempoh hari mengenai tangkapan dalang di Sabah pada 26 Disember lalu mempunyai kelainan berbanding operasi tangkapan sindiket dadah yang dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, sebelum ini pihak polis menyasarkan rampasan dadah dengan berat bertan dan bernilai puluhan berjuta, namun operasi itu dibuat menggunakan undang-undang di bawah Kesalahan Jenayah Terancang dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012 ke atas seluruh anggota sindiket, orang kanan serta dalang utamanya.
“Kita akan sasarkan ketua sindiket bagi memastikan isu pengedaran dan penyeludupan dadah dapat diatasi dan dibanteras sepenuhnya.
“Jika tidak, mungkin kita perlukan masa yang lama untuk selesaikan isu dadah, itulah fokus kita pada sindiket dadah sekarang,” katanya.
Beliau berkata sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan dan Pemakaian Pangkat Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Ditanya sama ada terdapat dalang dalam kalangan orang kenamaan berselindung di sebalik badan bukan kerajaan (NGO), Ayob Khan berkata, perkara itu masih dalam siasatan lanjut polis.
Dalam serbuan pada 26 Disember lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.
Serbuan dilakukan jam 2.45 pagi di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu berjaya menahan 10 lelaki, termasuk dalang utama sindiket yang juga penaung sebuah NGO berusia 40 tahun.
Ditanya mengapa polis tidak berkongsi kejayaan itu bersama media, beliau berkata: “Pihak polis faham tugas media untuk melaporkan berita kepada masyarakat, tetapi pada masa sama, media juga perlulah faham bahawa ada benda-benda yang kita boleh kongsi dan ada juga yang tak boleh dikongsi kerana bimbang ia boleh jejaskan siasatan dan mengganggu operasi polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette