Tangkap layar menunjukkan suspek (gambar atas) menyimbah cat merah di beberapa kediaman dan kereta (gambar bawah) di Taman Kuala Bekah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Rabu lalu.

KEPALA BATAS – Polis sedang memburu seorang lelaki yang bertindak menyimbah cat merah ke beberapa buah kenderaan dan rumah penduduk di Taman Kuala Bekah, Penaga di sini pada Rabu lalu.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik salah seorang mangsa, suspek yang menunggang motosikal seorang diri itu bertindak sedemikian sekitar jam 4.20 pagi ketika rata-rata penghuni sedang nyenyak tidur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menerima empat aduan semalam berhubung kejadian itu yang membabitkan rumah seorang peminjam dan tiga rumah jirannya.

“Siasatan polis mendapati mangsa telah membuat pinjaman wang secara dalam talian melalui laman sosial Facebook pada awal November lalu.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa telah menjelaskan bayaran balik pinjaman tersebut namun masih diganggu oleh pemberi pinjam wang yang menuntut bayaran tambahan daripadanya.

“Setakat ini empat buah rumah dan kereta dilaporkan menjadi mangsa simbah cat merah dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Asri, pihak forensik telah melakukan siasatan di tempat kejadian termasuk mengambil sampel cat yang ditinggallan suspek untuk dianalisa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menawarkan pinjaman wang tanpa lesen serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Kita juga minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk hubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohamad Azhar Abd Sukor dan Sarjan Norlida Bidrus di talian 04 567 2222 atau 04 324 2422 bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast