Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menafikan kedudukan Islam di negara ini dalam keadaan terancam.

Sebaliknya, menurut beliau, yang terancam adalah perpaduan nasional dan kestabilan politik dalam sebuah negara yang berbilang etnik, agama, budaya dan tamadun.

“Kerana inilah Yang di-Pertuan Agong telah mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), di mana cadangan ini telah ditolak oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang menambah, dalam tahun pertamanya, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa bertarung demi kelangsungan hidupnya.

Beliau berkata, ia adalah kerana Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat yakin bahawa Gelombang Hijau yang dicetuskan PN dalam PRU15 mampu menumbangkan Kerajaan Perpaduan dan ia dijangka berlaku selepas enam pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu.

“Namun, Gelombang Hijau ini gagal untuk membesar menjadi tsunami dalam enam PRN.

“Walaupun ia masih menjadi satu perkara yang tidak boleh dipandang kecil seperti yang ditunjukkan dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kit Siang menyeru kepada semua pihak menjadikan 2024 sebagai tahun untuk memperkukuhkan perpaduan nasional dan kestabilan politik.

“Pada masa yang sama, marilah kita jadikan 2024 juga satu tahun di mana Malaysia berjaya melaksanakan reformasi untuk menghentikan kemerosotan yang disaksikan negara dalam suku dekad yang lepas agar kita menjadi sebuah negara yang hebat di dunia,” katanya. – MalaysiaGazette